03 April 2014

3,500 Pesakit Hidap HIV/AIDS Setiap Tahun

Kuala Lumpur, AIDS Watch Indonesia - (1 Desember 2013) - Sebanyak 3,500 rakyat negara ini dikesan dijangkiti virus HIV/AIDS setiap tahun sejak kes tersebut pertama kali dilaporkan di negara ini pada 1986. Ketua Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr. Christopher Lee berkata, sehingga 2012, sebanyak 81,000 rakyat Malaysia menghidap HIV masih hidup.

"Walaupun jumlah pertambahan penghidap HIV menurun sejak 2002, usaha-usaha ke arah pencegahan masih perlu dilakukan memandangkan corak jangkitan virus telah bertukar.

"Jika dahulu, kebanyakan penghidap HIV dijangkiti melalui perkongsian jarum dalam kalangan penagih dadah tetapi kini gejala seks bebas menjadi ancaman terbesar terhadap peningkatan HIV membabitkan remaja,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Hari AIDS Sedunia 2013 anjuran Hospital Sungai Buloh bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini hari ini.

Sebanyak 40 sukarelawan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysian Allied Health Sciences Academy (MAHSA), Universiti Taylor serta Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) menaiki tren komuter untuk mengedar reben khas dan risalah pencegahan awal AIDS kepada penumpang di laluan Bandar Tasik Selatan, Klang dan Rawang.

Menurut Christopher, golongan belia merupakan kumpulan paling berisiko dijangkiti virus HIV akibat tingkah laku dan cara hidup salah.

"Kami berusaha untuk mengekang gejala ini dengan memberi penekanan kepada langkah pencegahan menerusi penggunaan kondom, namun tidak bermakna kami menggalakkan seks sebelum kahwin, tetapi memberi pengetahuan lebih luas kepada golongan muda tentang bahaya AIDS," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak perlu meningkatkan kesedaran tentang epidemik HIV/AIDS yang masih lagi menjadi ancaman kepada kesihatan awam dengan bersama-sama mencegah jangkitan tersebut, menggalakkan masyarakat mengetahui status masing-masing serta memanfaatkan rawatan yang disediakan.

"Selain itu, kami ingin menggesa masyarakat agar mengubah stigma dan diskriminasi mereka kepada pesakit AIDS untuk memastikan mereka sentiasa mendapat akses sokongan, rawatan dan jagaan," katanya. (utusan.com.my)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Terimakasih telah berkunjung ke situs AIDS Watch Indonesia.
Silahkan tinggalkan pesan Anda untuk mendapatkan tanggapan terbaik dari pembaca lainnya, serta untuk perbaikan ISI dan TAMPILAN blog ini di masa mendatang.